suria

Ibu tunggal jadikan anak enam tahun ‘keldai dadah’, sumbat 14 kg kanabis dalam beg

Hukuman berat menanti pesalah edar dadah. -Gambar hiasan AI

SEORANG ibu tunggal yang mempunyai dua anak telah ditahan pihak berkuasa, selepas didakwa cuba menyeludup dadah di dalam beg pakaian anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Dadah tersebut ditemukan di dalam sebuah penerbangan British Airways dari Lapangan Terbang Gatwick, London ke Lapangan Terbang Sir Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius.

Pihak berkuasa Mauritius menyatakan bahawa 24 bungkusan dadah seberat 14 kilogram yang ditemukan di dalam beg pakaian kanak-kanak itu bernilai £1.6 juta (kira-kira RM9.5 juta).

Natashia Artug, 35, ditahan bersama tujuh individu lain atas tuduhan membawa kanabis dalam bagasi mereka.

"Ini adalah salah satu kes paling menjijikkan yang kami hadapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata pihak berkuasa.

Rakan kongsi Natashia, Florian Lisman, 38, turut ditahan dan dikatakan membawa 32 bungkusan dadah.

Individu lain yang turut ditahan ialah Patrick Lee Wilsdon, 22, Lily Watson, 20, Shannon Ellen Josie Holness, 29, Laura Amy Kappen, 28, dan Shona Campbell, 32. 

Kesemua mereka didakwa atas kesalahan pengedaran dadah.

Anak lelaki Natashia telah dihantar pulang ke United Kingdom (UK) dan kini bersama bapanya.

Peguam Natashia dari firma undang-undang Justice Abroad mendakwa Natashia adalah seorang yang rentan dan telah dipaksa untuk menyeludup dadah oleh individu yang mengancam dia dan keluarganya.

Mereka telah melancarkan tabung dana untuk menampung kos guaman Natashia dan membawanya pulang ke UK.

Menurut kenyataan Justice Abroad, Natashia adalah seorang ibu tunggal yang menghidap Fibromyalgia dan dia juga sedang mengikuti pengajian universiti.

Mereka mendakwa Natashia telah dipaksa ke Mauritius dengan anaknya dan membawa bagasi yang tidak diketahuinya mengandungi kanabis. 

Dia dieksploitasi individu yang terlibat dalam perdagangan dadah dan membuat ugutan keganasan serius terhadap wanita itu dan keluarganya jika enggan mematuhi arahan mereka.

"Kes ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai eksploitasi seorang ibu muda oleh kumpulan jenayah.

"Dia kini menghadapi perbicaraan jenayah di Mauritius, terpisah daripada anak-anaknya dan tanpa sumber untuk menyediakan pembelaan yang mencukupi serta mengemukakan bukti paksaan dan eksploitasi yang menyebabkan dia terlibat," kata Justice Abroad. 

Pejabat Luar Negeri Britain mengesahkan bahawa mereka sedang memberikan sokongan kepada warganegara Britain yang ditahan di Mauritius dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan. -Agensi

Artikel Lain