suria

Pesawat uzur bawa 49 penumpang dan anak kapal terhempas, tiada mangsa selamat

Pesawat An-24 Angara Airlines berlepas dari lapangan terbang Irkutsk, Rusia. -Foto Reuters

SEBUAH pesawat penumpang Rusia yang membawa 49 orang dilaporkan terhempas di wilayah timur Amur dengan tiada mangsa yang terselamat.

Pesawat jenis Antonov An-24 yang dioperasikan syarikat penerbangan Angara itu sedang dalam penerbangan dari Blagoveshchensk ke Tynda, sebuah kawasan terpencil berhampiran sempadan China.

Menurut Gabenor Wilayah Amur, Vasily Orlov, pesawat itu membawa 43 penumpang termasuk lima kanak-kanak dan enam anak kapal.

Ia dilaporkan hilang daripada radar beberapa kilometer (km) sebelum tiba di destinasi.

Pasukan penyelamat menemui bangkai pesawat yang sedang terbakar di kawasan hutan tebal, kira-kira 15 km dari Tynda. 

Pesawat itu dipercayai terhempas akibat kesilapan ketika pendaratan dalam keadaan cuaca buruk dan jarak penglihatan yang rendah.

Pesawat tersebut dilaporkan berusia hampir 50 tahun dan merupakan model dari era Soviet yang dibina pada 1976.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan, dan pihak berkuasa telah melancarkan siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. -Agensi

Artikel Lain