DUNIA gusti hiburan dikejutkan dengan berita pemergian bintang legenda, Hulk Hogan, yang disahkan meninggal dunia di usia 71 tahun pada Khamis.
Menurut laporan, satu panggilan kecemasan berkaitan serangan jantung dibuat, dan pasukan perubatan bergegas ke kediaman Hogan di Clearwater, Florida.
Dia kemudiannya diusung masuk ke dalam ambulans untuk rawatan kecemasan.
Hogan, atau nama sebenarnya Terry Bollea, mula mencipta nama pada era 1980-an menerusi watak patriotik “Hulkamania” dalam pertubuhan gusti ketika itu dikenali sebagai WWF (kini WWE).
Dia dianggap sebagai antara individu terpenting yang membawa perubahan besar dalam dunia gusti profesional, menjadikan WWE sebuah jenama hiburan global.
Dilahirkan pada tahun 1953 di Augusta, Georgia, Hogan mempunyai dua orang anak, Brooke dan Nick, hasil perkahwinan pertamanya bersama Linda.
Pasangan itu bercerai pada tahun 2007.
Dia kemudiannya berkahwin dengan Jennifer McDaniel pada 2010, sebelum berpisah pada 2022.
Pada tahun 2023, Hogan mengahwini Sky Daily. -Agensi