DIANGGARKAN 30 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 300 cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan di utara Bandar Gaza.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, memaklumkan bahawa serangan berlaku kira-kira tiga kilometer dari lintasan Zikim, iaitu salah satu laluan penghantaran bantuan masuk ke Gaza.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya, berkata sebanyak 35 mayat dihantar ke hospital, dipercayai mangsa tembakan berdekatan lokasi agihan bantuan.
Tentera Israel dalam kenyataan menafikan mereka menyasarkan orang awam, dengan mendakwa bahawa anggotanya hanya melepaskan tembakan amaran selepas puluhan penduduk Gaza berkumpul berhampiran trak bantuan dan anggota tentera Israel.
"Tembakan tidak disasarkan ke arah orang ramai. Siasatan awal mendapati tiada mangsa direkodkan akibat tembakan IDF,” kata kenyataan itu.
Namun, dalam tempoh beberapa jam sebelum kejadian, 14 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam empat insiden berasingan, tiga daripadanya berhampiran lokasi pengagihan bantuan.
Dalam dua insiden, tentera Israel turut mengakui melepaskan tembakan amaran.
Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyifatkan jeda taktikal Israel sebagai tidak mencukupi bagi menampung keperluan kemanusiaan penduduk Gaza yang kini berdepan kebuluran besar-besaran.
“Empat hari selepas jeda taktikal dimulakan, terdapat orang yang mati akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan,” kata OCHA.
Menurut OCHA, operasi agihan bantuan sangat rumit dan memerlukan kelulusan keselamatan, laluan selamat, kelulusan gerakan, henti serangan dan pembukaan pintu sempadan.
“Orang yang terdesak dan kelaparan hanya mampu memunggah sedikit bekalan yang berjaya melepasi sempadan,” katanya.
Lebih dua juta penduduk Gaza terkesan hampir dua tahun akibat perang berpanjangan, dan kini menurut laporan PBB, mereka menghadapi fasa awal kebuluran.
Beberapa negara termasuk Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Britain telah menjalankan bantuan makanan, sementara Perancis dijangka menghantar 40 tan bantuan bermula Jumaat ini. -Agensi