SEORANG wanita warga emas maut selepas skuter yang dinaiki bersama suaminya, dirempuh lori tangki air.
Sewaktu kejadian, mangsa, Maghiben Patel dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuil Tapeshwar di Aaray Colony Shakir Mandir di Mumbai, India.
Sebaik sahaja melalui kawasan perpaipan di bawah jambatan Vijay Nagar, sebuah lori tangki air secara tiba-tiba merempuh skuter dinaiki mereka dari arah belakang.
Pemandu lori terbabit dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian di Andheri, Maharashtra sekitar pukul 7 pagi pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersama hingga nafas terakhir... 2 beradik wanita temui ajal, kereta terperosok bawah lori tangki
Hasil siasatan mendapati kedua-dua kaki Maghiben hancur selepas terperosok ke bawah tayar, sekali gus mengakibatkan pendarahan yang serius.
Mangsa berusia 63 tahun itu sempat dikejarkan ke Hospital Cooper di Juhu menaiki sebuah ambulans persendirian, namun disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan.
Susulan itu suaminya, Ramji Ambaji Patel, 62, tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.
"Pihak kami sedang menjejaki pemandu lori tangki menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," menurut pegawai polis.
Suspek berdepan dakwaan atas pemanduan terburu-buru dan cuai sehingga menyebabkan kematian di bawah Akta Kenderaan Bermotor 1988. -Agensi