suria

[V] Ibu mentua herdik menantu sedang bersalin mengadu sakit - "Biarkan dia mati"

Bidan yang membantu proses kelahiran wanita terbabit cuba menenangkan keadaan.

DETIK cemas seorang wanita sedang bersalin mencuri perhatian netizen apabila rakaman video memaparkan dia diherdik ibu mentua, tular di media sosial.

Insiden itu dipercayai berlaku ketika mereka berada di bilik bersalin.

Video pendek itu memperlihatkan suasana tegang ketika wanita itu yang dalam keadaan lemah dan sedang 'meneran', mengadu tentang kesakitan dialami.

“Saya rasa seperti mahu mati,” ujar wanita itu dalam nafas tersekat ketika proses melahirkan.

Bagaimanapun luahannya itu ditegur [Tonton Video] dengan nada keras oleh seorang wanita yang dipercayai ibu mentuanya.

“Awak rasa awak penat ke? Dah tiga, empat malam kita tunggu, penat tunggu! 

"Biarkan dia mati, tetapi lahirkan anak itu dahulu,” jeritnya lagi.

Insiden tersebut mencetuskan kekecohan dalam bilik bersalin dan menyebabkan bidan yang bertugas tampil menenangkan keadaan dengan menegur ibu mentua berkenaan.

“Jangan begitu bunda, berilah semangat,” katanya dengan nada tenang tetapi tegas.

Rakaman tular itu menerima ribuan reaksi dengan kebanyakannya mengecam sikap ibu mentua terbabit yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan gagal menunjukkan empati terhadap menantunya.

Netizen menyuarakan simpati terhadap wanita berkenaan dan menekankan bahawa proses bersalin bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, tetapi juga emosi. 

Mereka menyifatkan sokongan moral daripada ahli keluarga sangat penting dalam membantu wanita melalui saat genting itu.

Kejadian itu turut membuka ruang perbincangan lebih luas tentang pentingnya sokongan emosi dalam kalangan ahli keluarga ketika proses kelahiran, serta harapan agar semua wanita hamil diberi layanan penuh hormat dan kasih sayang semasa melahirkan. -Agensi

Artikel Lain