SEORANG pakar dermatologi, Khoo Boo Peng, digantung 14 bulan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan salah laku profesional.
Ia berikutan, pesakitnya dimasukkan ke hospital selama 10 hari akibat masalah serius pada sumsum tulang yang menjejaskan penghasilan sel darah.
Kejadian dilaporkan berlaku di Singapura.
Kejadian pertama bermula pada 13 April 2020 apabila pesakit mendapatkan rawatan ruam di Pusat Kulit dan Laser Naaman, Novena.
Khoo mendiagnosisnya dengan nodul prurigo, keadaan kulit yang menyebabkan benjolan gatal pada kulit dan memberikan suntikan steroid.
Pada 27 April 2020, Khoo menetapkan pesakit dengan Cyclosporin dan Methotrexate.
Pengambilan ubat tersebut membuatkan pesakit kembali sihat seterusnya ia diberhentikan pada 15 Mei 2020 kerana faktor kos.
Pesakit bagaimanapun kembali mendapatkan rawatan pada 12 Jun 2020.
Susulan itu dia diberikan Azathioprine dan Prednisolone oleh Khoo.
Pesakit kemudian menunjukkan simptom seperti kulit gelap, bengkak, keguguran rambut dan kesakitan ketika menelan, namun ubat diteruskan. Hanya selepas simptom semakin teruk, Khoo mengesyaki tindak balas buruk terhadap Azathioprine.
Pesakit kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth Novena dari 4 hingga 13 Julai 2020 selepas disahkan mengalami pansitopenia, iaitu keadaan berpotensi mengancam nyawa.
Tribunal tatatertib Majlis Perubatan Singapura mendapati Khoo gagal memastikan keselamatan pesakit serta tidak memantau dengan rapi kesan sampingan rawatan. -Agensi