suria

Budak 12 tahun alami penderaan seksual, diseksa hingga maut... Ayah kandung, teman wanita didakwa bunuh

Kanak-kanak sering menjadi mangsa jenayah dan keganasan. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas didakwa menjadi mangsa penderaan fizikal, seksual dan penyeksaan berterusan oleh bapa kandungnya.

Lebih menyedihkan apabila mangsa Rebekah Baptiste, 10, sebelum ini pernah merayu kepada guru kelasnya supaya tidak dihantar pulang selain melompat dari bangungan dua tingkat untuk melarikan diri.

Memetik laporan Mirror.com, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di lebuh raya Holbrook, utara Arizona pada 27 Julai lalu.

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 30 Julai, akibat kecederaan serius termasuk pendarahan otak, lebam seluruh badan, kehilangan kuku kaki dan kekurangan zat makanan.

Susulan itu, bapanya, Richard Daniel Baptiste, 32, dan teman wanita, Anicia Woods, 29 ditahan atas tuduhan membunuh.

Pasangan terbabit juga berhadapan tiga pertuduhan penderaan kanak-kanak dengan dua daripadanya melibatkan adik lelaki Rebekah dan penculikan.

Dalam pada itu, pihak sekolah mendakwa telah membuat sekurang-kurangnya 12 laporan kepada Jabatan Keselamatan Kanak-Kanak (DCS) sejak November 2023.

Namun mereka mendakwa aduan diabaikan. 

DCS bagaimanapun menafikan angka itu, mendakwa hanya lima laporan diterima dan hanya satu memenuhi kriteria siasatan.

Kes ini mencetuskan kemarahan keluarga dan pihak sekolah yang menuduh pihak berkuasa gagal melindungi mangsa walaupun tanda penderaan jelas kelihatan. -Agensi

Artikel Lain