SEORANG lelaki rakyat Malaysia ditahan di Pataya, Thailand selepas disyaki merakam secara rahsia hubungan seks dengan wanita Thai untuk tujuan pemerasan.
Tangkapan itu dibuat selepas pihak berkuasa melakukan serbuan di sebuah kondominium pada pukul 12.30 pagi Jumaat.
Ia berikutan mangsa mendakwa suspek yang dikenali sebagai Tak Sun Chong, 24, mengugut untuk memuat naik video ke laman lucah jika tidak dibayar.
Mereka sebelum itu berkenalan melalui aplikasi WeChat sebelum dia diundang ke bilik.
Menurut pihak berkuasa, hasil pemeriksaan di premis menemukan dua kamera kecil, pemacu kilat, kad memori, peranti elektronik dan telefon bimbit.
Difahamkan, terdapat puluhan video seks yang melibatkan wanita Thai dirakam sejak beberapa tahun lalu dan disimpan di dalam pemacu kilat berkenaan.
Pihak berkuasa percaya, sebahagian mangsa dipercayai membayar ratusan hingga puluhan ribu Baht bagi mengelak rakaman tersebar.
Suspek yang masuk menggunakan visa pelancong dan tinggal lebih masa mengaku melakukan pemerasan dan menggunakan kad kunci curi untuk mengakses kondominium di Jomtien.
Dalam pada itu, polis turut menyiasat kemungkinan rakaman turut dijual di laman gelap serta mengesan mangsa lain. -Agensi