SEORANG pembantu rumah ditahan polis selepas didakwa merakam video ketika majikannya keluar dari bilik mandi.
Suspek berusia 18 tahun itu ditahan bersama kekasihnya yang juga pengawal keselamatan, 23, di Bekasi, Indonesia.
Difahamkan, kekasih suspek merupakan dalang rakaman berkenaan.
Ketua Polis Metro Bekasi, Kusumo, berkata perbuatan itu terbongkar selepas suami mangsa yang tinggal di Berau, Kalimantan, memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
“Pergerakan pelaku mencurigakan, dan dia merakam video menggunakan telefon bimbit yang disorokkan di kakinya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 32 tahun keluar dari bilik air dengan memakai tuala.
Rakaman itu kemudian dihantar kepada kekasih suspek sebagaimana permintaannya.
Siasatan mendapati, pembantu rumah itu turut diugut bahawa video lucahnya akan disebarkan kepada keluarga jika dia enggan merakam aksi majikannya.
“Pelaku merakam kejadian itu sebanyak dua kali iaitu pada 14 dan 15 Mei 2025,” jelas Kusumo.
Kedua-dua suspek kini berdepan tuduhan mengikut Perkara 35 bersempena Perkara 9 Undang-Undang No. 44 Tahun 2008, yang membawa hukuman penjara maksimum 12 tahun jika sabit kesalahan. -Agensi