suria

[V] Pasangan influencer menangis terkandas di ‘airport’ gara-gara percayakan ChatGPT

Caldass ditenangkan oleh teman lelakinya itu.

PASANGAN pempengaruh muda dari Sepanyol mendakwa mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat penerbangan ke Puerto Rico selepas menerima maklumat visa yang salah daripada chatbot kecerdasan buatan (AI), ChatGPT.

Menerusi video yang dikongsi di TikTok, Mery Caldass dilihat menangis ketika berjalan di lapangan terbang selepas dimaklumkan mereka tidak boleh meneruskan perjalanan ke Pulau Caribbean. 

Teman lelakinya, Alejandro Cid [Tonton Video] dilihat cuba menenangkan dirinya.

“Saya sentiasa buat banyak kajian, tetapi saya tanya ChatGPT dan 'dia' kata tidak (perlu visa),” katanya sambil mengakui kini hilang kepercayaan terhadap aplikasi AI itu.

Meskipun kecewa, Caldass sempat berseloroh bahawa maklumat salah itu mungkin tindakan 'balas dendam' ChatGPT berhubung penghinaannya sebelum ini. 

"Saya tak percaya lagi pada ChatGPT tu sebab kadang-kadang saya hina dia, saya panggil dia bodoh, tak guna tapi maklumkan baik-baik... itu balas dendam dia," jelasnya.

Video itu meraih lebih 6.1 juta tontonan di TikTok, namun ramai pengguna menyindir pasangan itu kerana hanya bergantung kepada AI dan tidak merujuk sumber rasmi.

Untuk maklumat, pelancong Sepanyol tidak memerlukan visa untuk ke Puerto Rico, tetapi perlu memohon Kebenaran Perjalanan Elektronik (ESTA) secara dalam talian. 

Justeru, beberapa pengguna mempertahankan ChatGPT dengan mendakwa pasangan tersebut mungkin mengajukan soalan yang salah. -Agensi

Artikel Lain