SEORANG ahli nujum yang mendakwa mampu membantu pemilik berkomunikasi dengan haiwan peliharaan yang telah mati, mencetuskan kontroversi dalam talian.
Dia turut mendakwa turut mengetahui sama ada haiwan terbabit telah dilahirkan semula atau sebaliknya.
Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu akan dikenakan bayaran sebanyak 128 yuan (RM75) untuk membolehkan pemilik mengajukan lima soalan kepada haiwan peliharaan mereka.
Jumlah bayaran 2,999 yuan (RM1,761) pula dikenakan bagi soalan tanpa had dalam tempoh enam bulan.
Bagi mereka yang ingin mengetahui sama ada haiwan peliharaan sudah dilahirkan semula, caj yang dikenakan antara 899 yuan hingga 1,899 yuan (RM528 hingga RM1,115) bergantung kepada situasi.
Apa yang mengejutkan, ramai pemilik haiwan cuba mendapatkan perkhidmatan tersebut termasuk seorang wanita yang dikenali sebagai Anran.
Dia yang percaya dengan keajaiban itu cuba untuk 'berhubung' dengan anjing baka Beagle yang dipelihara dari 2009 hingga 2024.
Anjing yang diberi nama Qiqi mati pada Oktober lalu akibat penyakit buah pinggang.
Dia bagaimanapun berasa tertipu selepas mengetahui jawapan yang diberikan ahli nujum terbabit sama seperti perkongsiannya mengenai haiwan berkenaan.
Susulan itu, Anran berkongsi perihal ahli nujum terbabit di laman sosial sebelum mengetahui ramai lagi individu telah tertipu.
Bahkan, ahli nujum itu mempunyai lebih 400 ahli yang ingin mendapatkan perkhidmatannya. -Agensi