suria

Pemandu larikan diri selepas kenderaan rosak, pelancong terkandas 90 minit di safari dipenuhi harimau!

Taman Negara Ranthambore menjadi antara tarikan utama pelancongan hidupan liar di India. -Gambar hiasan

DALAM satu insiden mencemaskan, sekumpulan pelancong termasuk wanita dan kanak-kanak terkandas selama hampir 90 minit di dalam hutan selepas kenderaan safari (canter) mereka rosak.

Menurut pelancong, pemandu kenderaan didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian, sekali gus mencetuskan suasana panik.

Insiden dilaporkan berlaku di Taman Negara Ranthambore, dekat Rajasthan, India. 

Difahamkan, insiden berlaku sekitar pukul 6 petang apabila kenderaan yang membawa kumpulan pelancong tersebut mengalami kerosakan di tengah-tengah hutan yang menjadi habitat lebih 60 ekor harimau.

Menurut mangsa, pemandu safari itu meninggalkan mereka dengan alasan ingin mengambil kenderaan ganti, namun langsung tidak kembali.

Rakaman video yang diambil oleh salah seorang pelancong menunjukkan suasana panik, termasuk kanak-kanak menangis dalam suasana gelap dan hanya diterangi cahaya dari lampu telefon bimbit. 

Hutan berkenaan bukan sahaja menempatkan harimau Bengal, malah turut menjadi habitat harimau bintang, beruang sloth dan buaya paya, menambahkan lagi ketakutan mereka yang terkandas.

Menurut pegawai taman negara berkenaan, kumpulan pelancong tersebut hanya diselamatkan sekitar pukul 7.30 malam, selepas lebih sejam setengah terkandas tanpa sebarang pengawasan atau bantuan.

Pengarah Lapangan dan Ketua Konservator Hutan (CCF) Rizab Harimau Ranthambore, Anoop K.R., ketika mengulas insiden itu menegaskan bahawa keselamatan pelancong adalah keutamaan mutlak pihaknya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu yang melanggar peraturan. Kecuaian seperti ini tidak akan diterima dan kami sedang menyiasat perkara ini secara menyeluruh," katanya lagi. -Agensi

Artikel Lain