suria

Peniaga produk kecantikan dipenjara gara-gara hina tentera di FB

Chheng Sreyroth merupakan peniaga produk kecantikan.

PENIAGA produk kecantikan, Chheng Sreyroth kini ditahan di penjara selepas dituduh memuat naik hantaran bersifat menghasut di media sosial.

Menurut kenyataan Mahkamah Wilayah Kandal di Kemboja pada 15 Ogos, wanita itu didakwa dengan dua pertuduhan iaitu hasutan bagi tujuan diskriminasi dan melemahkan moral tentera mengikut Artikel 472 dan 496 Kanun Jenayah.

Jika sabit kesalahan, Chheng Sreyroth atau lebih dikenali sebagai Love Riya, 40, berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di wilayah Kandal, Mejar Kem Vathana, berkata Sreyroth membuat hantaran berkenaan pada 6 dan 13 Ogos.

"Dalam hantaran Facebook pada 6 Ogos, Sreyroth mendakwa disebabkan ibu bapanya bertempur terlebih dahulu dengan tentera Thailand, maka tentera Kemboja berjaya menewaskan tentera Thailand," kata Mejar Vathana.

Selain itu, Sreyroth mendakwa rohnya meresap masuk ke dalam tubuh tentera Kemboja sehingga mereka mampu menewaskan pihak lawan.

Ketika kerajaan Kemboja mengharamkan import buah-buahan dari Thailand, wanita itu pada 13 Ogos sekali lagi memuat naik hantaran kontroversi di Facebook miliknya.

Tulis peniaga krim dan losen kecantikan itu, dia akan terus membuat urus niaga produk kecantikan dari Thailand.

Sementara itu, suaminya Heng Kimheng merayu mahkamah agar memaafkan isterinya yang masih mempunyai anak kecil untuk dijaga. -Agensi

 

Artikel Lain