PENDUDUK di sekitar Laut Galilee atau Tasik Tabariyyah di Israel, gempar apabila tasik bersejarah itu tiba-tiba bertukar kepada warna merah, mengundang pelbagai spekulasi dan dianggap petanda buruk.
Fenomena itu disaksikan pengunjung yang terkejut melihat ombak berwarna merah bergulung ke pantai, malah ada yang mengaitkannya dengan kisah 10 malapetaka dalam Kitab Exodus apabila Sungai Nil bertukar menjadi 'darah' selepas disentuh tongkat Nabi Musa.
Ramai juga yang bimbang dan mengaitkan fenomena itu dengan ramalan kiamat atau tanda-tanda dunia akan berakhir.
Namun, Kementerian Alam Sekitar Israel tampil menjelaskan kejadian luar biasa itu dari segi saintifik.
Fenomena alam itu berlaku disebabkan pembiakan alga hijau yang menghasilkan pigmen merah apabila terdedah kepada cahaya matahari terik.
Menurut ujian Makmal Penyelidikan Kinneret, pigmen tersebut tidak berbahaya dan air di tasik berkenaan masih selamat untuk aktiviti seperti berenang.
ARTIKEL BERKAITAN: Hadis sahih cerita tentang keringnya Laut Galilee, apa kaitannya dengan tanda kiamat?
Alga yang dikenal pasti sebagai 'Botryococcus braunii' juga tidak memberi risiko terhadap kesihatan atau reaksi alahan kepada mereka yang terdedah.
Fenomena [Tonton sini] perubahan warna air itu dipercayai berlaku akibat pengumpulan pigmen semula jadi daripada mikroorganisma seperti sianobakteria atau dinoflagellata, terutama dalam keadaan cuaca panas serta air yang kaya dengan nutrien.
Kejadian ini memberi kesan simbolik mendalam kepada komuniti Kristian dan Yahudi kerana Laut Galilee merupakan lokasi penting dalam kitab mereka.
Di sinilah tercatat pelbagai mukjizat Nabi Isa termasuk berjalan di atas air, memberi makan 5,000 orang hanya dengan beberapa ketul roti dan ikan.
Menurut laporan Reuters pada Januari 2023, Israel mengepam air untuk disalur ke Laut Galilie yang semakin menyusut.
Malah, fenomena air bertukar merah ini bukan kali pertama berlaku dilaporkan di wilayah itu.
Dalam Islam terdapat beberapa hadis yang menceritakan perihal tasik ini.
Daripada al-Nawwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT akan mengutuskan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka akan datang dari segala penjuru dengan begitu cepat. Mereka akan melalui Tasik Tabari dan akan meminum apa yang ada di dalamnya (sehingga kering) sehinggakan yang terakhir daripada kalangan mereka berkata: Tadi ada air di tasik ini.” [Riwayat Muslim]
Imam Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadis mengatakan Ya’juj dan Ma’juj akan minum air dari Tasik Tabari ini sehingga yang terakhir atau salah seorang daripada mereka akan berkata bahawa dahulunya tasik atau tempat ini mempunyai air yang banyak.
Di samping itu juga, Imam al-Qurtubi ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini akan minum air dari Tasik Tabari ini. -Agensi