suria

Baru nak merasa ada teman wanita, remaja lelaki tak sedar ‘dijual’ ke Myanmar pada harga lebih RM58,000

Lelaki ini diperdaya teman wanitanya yang berusia 17 tahun

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun dari Zhanjiang, Guangdong, China berdepan detik hitam apabila terjerat dalam perangkap cinta palsu sehingga diperdagangkan ke Myanmar untuk dijadikan buruh penipuan atau scammer.

Mangsa yang menyangka dia sudah menemui teman wanita rupa-rupanya ditipu dan dijual dengan harga sekitar RM58,775 oleh gadis berusia 17 tahun yang dikenalinya ketika bermain ping pong. 

Menurut laporan 8World News, gadis terbabit memujuk mangsa untuk ke Myanmar atas alasan keluarganya memiliki perniagaan di sana. 

Susulan itu, mangsa dibawa ke Bangkok, Thailand tanpa pengetahuan keluarganya pada Februari 2025.

Dia bagaimanapun ditinggalkan teman wanita selepas mereka tiba di sempadan.

Malah pasport serta telefon bimbitnya turut dirampas sebelum dia dibawa ke sebuah pusat penipuan di Myanmar dan dikurung.

Sepanjang empat bulan, dia dipaksa bekerja antara 16 hingga 20 jam sehari, melakukan penipuan.

Mangsa turut dipukul dengan besi, telinganya dicubit serta tidak diberi makanan mencukupi sehingga kehilangan 10 kilogram dan mengalami masalah pendengaran akibat penderaan berpanjangan.

Lebih menyedihkan apabila keluarganya hanya menyedari kedudukan mangsa selepas menerima mesej kecemasan dan diminta membayar pampasan berjumlah S$62,518 (RM205,716).

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan pada Jun lalu.

Akibat kejadian tersebut, mangsa dilaporkan mengalami trauma teruk, sering dihantui mimpi buruk serta hidup dalam ketakutan.

Keluarganya berharap pihak berkuasa menjatuhkan hukuman setimpal terhadap remaja perempuan itu. 

Sementara itu, gadis berusia 17 tahun itu ditahan sebaik pulang ke China selepas berada selama 10 hari di Thailand. 

Dia kini berdepan pertuduhan penipuan dan perbicaraan dijangka bermula dalam masa terdekat. -Agensi

 

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel