suria

Pesakit kritikal meninggal dunia, dibiarkan dua jam tanpa rawatan... Rupanya ‘diperiksa’ doktor palsu

Doktor palsu berkenaan ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

HELAH seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor akhirnya menjerat diri.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas seorang pelawat membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan, namun malangnya, mereka dibiarkan selama hampir dua jam.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia disebabkan paras oksigen turun secara mendadak.

Kejadian dipercayai berlaku di Hospital Daerah Basti di Uttar Pradesh, India.

Mengulas mengenainya, wakil Suruhanjaya Maklumat Negeri Hospital Daerah, Dr Khalid Rizwan berkata, penyamaran individu berkenaan menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas sehingga paras oksigen turun secara mendadak..

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pelatih cuai, terlena ketika bertugas hingga pesakit meninggal dunia

"Dia telah diberikan rawatan yang sepatutnya, namun tidak dapat diselamatkan," katanya sambil menambah pihaknya menerima maklumat berhubung penyamaran seorang individu sebagai staf perubatan.

Suspek kemudian ditangkap oleh orang ramai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Hasil siasatan mendapati lelaki itu merupakan pelajar tahun dua, jurusan juruteknik bilik pembedahan di Kolej Perubatan Basti.

Terdahulu, seorang saksi kejadian berkongsi insiden yang berlaku.

Menurutnya, suspek yang dikenal pasti sebagai Raj Kumar memasuki ruangan wad dengan memakai pelitup muka dan stetoskop

Dakwanya, individu turut memperkenalkan diri sebagai doktor senior dan mula memeriksa keadaan pesakit termasuklah mereka yang sedang kritikal.

Pada masa sama, salah seorang ahli keluarga pesakit tampil bertanyakan tentang preskripsi ubat.

Namun mereka diminta bertanyakan hal tersebut kepada warden yang bertugas sehingga mencetuskan kejanggalan dan keraguan pada kredibilitinya sebagai doktor.

Susulan itu, laporan berkaitan dibuat untuk siasatan lanjut. -Agensi

 

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel