suria

Pisau buah ‘tertanam’ di kepala, budak perempuan 3 tahun selamba jalan masuk ke hospital

Kanak-kanak ini berjalan masuk ke ruangan hospital dengan keadaan pisau tertusuk di kepala.

PESAKIT dan kakitangan hospital dikejutkan dengan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang berjalan masuk dengan keadaan pisau buah tertusuk di kepalanya.

Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak yang ditemani ibunya itu tidak menangis atau panik dengan situasi yang berlaku selain mampu berjalan sendiri.

Susulan itu, mangsa segera dibawa ke bilik pembedahan kecemasan dan doktor menjalankan kraniotomi pada malam yang sama bagi mengeluarkan pisau.

Dia juga dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan kecil dilakukan.

Siasatan mendapati kecederaan itu berpunca daripada ibunya sendiri. 

Wanita itu mengaku menyimpan pisau di bawah bantal untuk menghalau roh jahat. 

Ketika anaknya nakal di atas katil, dia mengambil pisau tersebut untuk menakut-nakutkan, namun bilahnya secara tidak sengaja tertusuk ke kepala mangsa.

“Ibu berkenaan mendakwa pisau itu tertusuk secara tiba-tiba dan tidak dapat ditarik keluar.

"Bimbang dengan situasi yang berlaku, dia terus membawa anaknya ke hospital tanpa menghubungi talian kecemasan,” jelas kakitangan perubatan.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kemalangan, dan pihak hospital mengesahkan tiada asas untuk laporan polis dibuat. -Agensi

Artikel Lain