DUA pempengaruh media sosial, NinaUnrated dan Patrick Blackwood, berdepan detik cemas apabila sebuah kenderaan merempuh masuk ke dalam restoran ketika mereka sedang merakam video ulasan makanan (food review).
Menerusi video [Tonton sini] yang dikongsikan Nina pada Isnin, Patrick yang duduk bersebelahan tingkap terkena serpihan kaca akibat rempuhan berkenaan.
Nina yang berada di sebelahnya turut cedera ringan dalam kejadian di restoran Cuvee Culinary Creations, Houston di Texas.
Menerusi Instagram, Nina berkongsi beberapa foto menunjukkan keadaan dia dan Patrick yang mengalami luka kecil akibat insiden tersebut.
Susulan itu Nina yang memiliki lebih 200,000 pengikut di Instagram meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang hidup selepas berdepan insiden cemas berkenaan.
Keadaan Nina dan Patrick yang mengalami luka akibat serpihan kaca terpelanting.
"Saya sangat bersyukur masih hidup selepas sebuah SUV merempuh dinding kaca sehingga segalanya berkecai ketika saya dan Patrick Blackwood sedang merakam rancangan makanan.
"Kereta itu melanggar terus ke arah kami. Saya di sebelah kanan, Patrick di sebelah kiri ketika saya sedang menggigit salmon slider. Semuanya berlaku tanpa diduga, tapi kami terselamat.
"Pengalaman ini menyedarkan saya yang hidup terlalu singkat untuk dendam dan amarah. Belajarlah melepaskan, memaafkan dan hargai orang di sekeliling kerana ini mungkin sahaja menjadi hidangan terakhir kami," tulisnya di Instagram.
Patrick pula turut berkongsi rasa lega kerana mereka berjaya keluar dari kejadian ngeri itu dengan selamat.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan tersebut.