SEORANG kanak-kanak perempuan didakwa dirogol oleh jirannya ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai mengaji.
Insiden itu mula terbongkar setelah mangsa yang berusia 11 tahun itu berasa mual secara tiba-tiba lalu dibawa oleh ibu bapanya ke hospital.
Setelah menjalani pemeriksaan, mangsa disahkan hamil empat bulan.
Difahamkan, sewaktu kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.00 malam pada Februari lalu, mangsa pulang berjalan kaki selepas selesai mengaji dan melalui rumah mentua suspek di Pulau Bawean, Gresik, Indonesia.
Suspek yang berusia 47 tahun itu bertindak menekup mulut mangsa lalu menariknya masuk ke ruangan dapur.
Pada awalnya, mangsa sempat menjerit dan berusaha melarikan diri, namun tidak berjaya.
Setelah selesai memuaskan nafsu, mangsa dipercayai disogok dengan wang sebanyak Rp 50,000 (RM13).
Lebih mengejutkan, mangsa dilaporkan menjadi pemuas nafsu suspek beberapa kali sejak kejadian pertama itu.
"Setakat ini, pihak kami masih mendalami kes berdasarkan laporan yang diterima," menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Gresik, AKP Abid Uais Al-Qarni.
Suspek berjaya diberkas pihak polis dan siasatan lanjut sedang berjalan. -Agensi