BERLAKU satu kes bersalin tragis apabila kepala seorang bayi terputus ketika proses kelahirannya, dalam kejadian pada Isnin.
Menurut Ketua Pembantu Perawatan Kesihatan, Lisna Panjaitan, seorang wanita hamil tiba bersama keluarganya sekitar pukul 6.15 pagi untuk melahirkan anak.
Kejadian yang turut dikongsikan di Facebook [tonton video] itu berlaku di Pusat Kesihatan (Puskesmas) Pinangsori, Tapanuli Tengah di Indonesia.
Lisna berkata, pemeriksaan mendapati denyutan jantung janin tiada selepas empat kali ujian dilakukan, sekali gus mengesahkan bayi sudah meninggal dalam kandungan.
Namun perkara itu tidak dimaklumkan kepada keluarga kerana bimbang mereka panik.
Pihaknya beberapa kali menyarankan agar pesakit dirujuk ke hospital demi keselamatan, tetapi keluarga menolak sebanyak empat kali dan tetap mahu bersalin di Puskesmas.
Pesakit dan suaminya kemudian menandatangani surat persetujuan untuk melahirkan secara normal.
Proses kelahiran bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila ibu gagal meneran dan kontraksi terhenti.
Bidan cuba membantu dengan kaedah menekan perut sambil menarik kepala bayi, namun bahu tersangkut disebabkan saiz tubuh terlalu besar mencecah 4.2 kilogram.
"Disebabkan bayi sudah meninggal, tulangnya lebih rapuh. Ketika kepala ditarik, bahunya tersangkut hingga kepala bayi akhirnya terputus," jelas Lisna.
Doktor kemudiannya menyelesaikan proses untuk mengeluarkan tubuh bayi sepenuhnya, sementara si ibu berjaya diselamatkan tanpa komplikasi.
Lisna menegaskan tindakan bidan adalah mengikut SOP dengan keutamaan menyelamatkan nyawa ibu.
Pihak Dinas Kesihatan juga sudah menjalankan audit dalaman dan semua prosedur serta persetujuan pesakit direkodkan lengkap. -Agensi