suria

Dapat tiga anak dalam tempoh 4 tahun... Wanita sanggup hamil ‘berturut-turut’ elak hukuman penjara

Pelbagai persiapan perlu dilakukan selepas kelahiran cahaya mata. -Gambar hiasan

SEORANG wanita sanggup melalui fasa kehamilan berulang kali sehingga melahirkan tiga anak dalam tempoh empat tahun.

Kejadian dilaporkan berlaku di Shanxi, China selepas wanita itu yang dikenali sebagai Chen Hong dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana penipuan pada Disember 2020.

Memetik laporan media tempatan, tindakannya itu disebabkan terdapat peraturan di China yang menyatakan banduan yang menghidap penyakit serius, mengandung dan menyusukan bayi dibenarkan menjalani hukuman di luar penjara.

Mereka akan menjalankan perkhidmatan koreksional komuniti di hospital atau rumah dengan penyeliaan oleh institusi berkenaan.

Terdahulu, wanita ini dikehendaki mengemukakan laporan pemeriksaan penyakit atau kehamilan, sekali dalam tempoh tiga bulan.

Semasa pemeriksaan pada bulan Mei, seorang prokurator mendapati Chen, yang baru melahirkan anak ketiga, tidak tinggal bersama bayinya.

Ia juga mendapati bahawa pendaftaran isi rumah kanak-kanak itu adalah di bawah kakak ipar Chen.

Susulan pendedahan bukti, Chen mengakui bahawa dia sudah bercerai dan dua anaknya tinggal bersama bekas suami manakala yang ketiga diberikan kepada kakak iparnya.

Situasi yang berlaku itu membuatkan prokurator yakin bahawa Chen menggunakan kehamilan sebagai alasan untuk 'melarikan diri' dari penjara.

Bagaimanapun, tempoh hukuman penjara yang berbaki kurang satu tahun membuatkan dia dihantar semula ke pusat tahanan. -Agensi

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel