SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Ungkapan tersebut sesuai menggambarkan situasi seorang lelaki yang terkantoi mempunyai kekasih gelap, selepas cubaannya membeli pil perancang secara rahsia gagal.
Segala-galanya bermula apabila dia mengunjungi sebuah farmasi cawangan Dashenlin di daerah Pinggang, wilayah Guangdong, China, untuk membeli pil berkenaan.
Lelaki tersebut, yang identitinya tidak didedahkan, cuba membuat bayaran bernilai 15.8 yuan (kira-kira RM9.30) menggunakan kod pembayaran di telefon bimbit, namun transaksi itu gagal akibat masalah sistem.
Kakitangan farmasi kemudian menghubungi nombor telefon yang didaftarkan atas nama pelanggan untuk mendapatkan bayaran, namun tanpa disedari, panggilan tersebut dibuat kepada isterinya.
Ketika ditanya isteri lelaki berkenaan, kakitangan farmasi dengan jujur memaklumkan bahawa ia adalah pembelian pil perancang.
Pendedahan itu menyebabkan si isteri menyedari kecurangan suaminya, sekaligus membongkar hubungan luar nikah yang tidak diketahui sebelum ini.
Bagaimanapun, tidak diketahui status perkahwinan pasangan berkenaan selepas kecurangan si suami terbongkar.
Sementara itu menerusi hantaran media sosialnya, lelaki berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan etika kakitangan farmasi terbabit.
"Sekarang isteri saya tahu segalanya, dan dua keluarga berada di ambang kehancuran. Saya mahu tahu, adakah farmasi anda akan bertanggungjawab?" tulisnya sambil memuat naik laporan polis bertarikh 12 Ogos yang dikeluarkan oleh Balai Polis Pinggang di bawah Cawangan Gaoxin, Biro Keselamatan Awam Yangjiang.
Kisah tersebut kini tular dan menjadi perbualan hangat di media sosial di China.
Ramai netizen mengecam tindakan lelaki tersebut dan menjadikan kejadian itu sebagai bahan sindiran terhadap mereka yang tidak setia dalam perkahwinan. -Agensi