SEBUAH hospital swasta disita oleh pihak berkuasa selepas seorang lelaki hadir ke pejabat Pegawai Daerah sambil membawa mayat bayinya yang meninggal dunia ketika proses kelahiran.
Bapa bayi berkenaan yang dikenali sebagai Vipin Gupta mendakwa pihak Hospital Goldar yang terletak di Uttar Pradesh, India bersikap tidak bertanggungjawab apabila terus-menerus menaikkan caj rawatan dan sengaja melengahkan proses bersalin sehingga menyebabkan kematian anaknya.
Menurut Vipin, hospital tersebut mengenakan bayaran sebanyak Rs10,000 (sekitar RM483) untuk kelahiran normal, manakala caj pembedahan caesarean (C-section) pula dinaikkan kepada Rs12,000 (sekitar RM579).
Dakwanya, ketika isteri mengalami kesakitan bersalin yang semakin serius, pihak hospital terus menaikkan caj secara mendadak.
"Saya berjaya kumpul wang yang diminta sebelum pukul 2.30 pagi dan siap beritahu mereka, kalau tak mampu rawat, saya akan bawa isteri ke tempat lain. Tapi mereka terus naikkan caj.
"Saya minta mereka mulakan proses kelahiran dan saya akan cari baki wang kemudian, tapi mereka tetap berkeras mahu bayaran penuh dahulu sebelum mulakan rawatan," katanya.
Lebih memilukan, Vipin turut mendakwa bahawa isterinya 'dihalau' selepas bayi mereka meninggal dunia.
Tidak berpuas hati dengan layanan hospital, Vipin membawa mayat bayinya ke pejabat Pegawai Daerah untuk membuat aduan.
Susulan kejadian itu, Pegawai Daerah Lakhimpur Kheri mengarahkan agar Hospital Goldar disita serta-merta.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X (Twitter), pihak pentadbiran daerah memaklumkan bahawa semua pesakit yang masih berada di hospital tersebut sedang dipindahkan ke Hospital Wanita Daerah.
“Dalam kes kematian bayi ini, pentadbiran daerah telah menyita Hospital Goldar. Pesakit yang dimasukkan sedang dipindahkan ke Hospital Wanita Daerah. Pihak pentadbiran daerah berdiri teguh bersama keluarga mangsa," menurut kenyataan berkenaan. -Agensi