SEORANG bapa sewajarnya menunjukkan teladan yang baik, namun berbeza pula dengan kisah lelaki ini yang mengajak anaknya mencuri dua tabung di dalam masjid.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki serta anaknya menunggang motosikal dan kemudian memasuki pekarangan masjid sambil membawa guni.
Beberapa minit kemudian, kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 tahun keluar membawa tabung masjid bersamanya.
"Peristiwa itu terjadi pada waktu malam dan hanya disedari keesokan harinya oleh seorang jemaah yang hendak menunaikan solat Subuh.
"Dia ingin memasukkan wang ke dalam tabung, namun tabung tidak kelihatan," kata salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang dikenali sebagai Iwan Safawi, 46.
Kejadian dilaporkan berlaku di Masjid Miftahul Jannah, Jalan Setunggal di Palembang, Indonesia.
Anggaran wang yang hilang belum dapat dipastikan, memandangkan belum lagi dibuat pengiraan sejak Jumaat lalu.
Pihak masjid kemudian membuat laporan polis untuk segera menjejaki suspek. -Agensi