suria

Helikopter bawa 8 individu hilang, terputus hubungan lapan minit selepas berlepas

Helikopter jenis Airbus BK117 D-3 milik syarikat penerbangan Eastindo Air dilaporkan terputus hubungan di kawasan Mantewe. -Foto Kompas

SEBUAH helikopter yang membawa lapan individu dilaporkan terputus hubungan di kawasan Mantewe, wilayah Borneo Selatan, Indonesia, hanya lapan minit selepas berlepas, menurut pihak berkuasa.

Pesawat jenis Airbus BK117 D-3 milik syarikat penerbangan Eastindo Air itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang di daerah Kotabaru, wilayah Kalimantan Selatan, pada pukul 8.46 pagi (waktu tempatan), Isnin. 

Ia dijadualkan tiba di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 10.15 pagi.

Namun, hubungan terakhir dengan menara kawalan direkodkan pada pukul 8.54 pagi, sebelum pesawat itu gagal dikesan.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana, memaklumkan bahawa laporan mengenai kehilangan helikopter itu diterima pada 12.02 tengah hari.

Beliau berkata, helikopter berkenaan dipercayai terputus hubungan di kawasan hutan Mantewe, daerah Tanahbumbu, dan membawa seorang juruterbang, seorang jurutera serta enam penumpang.

Pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan melalui darat dan udara, termasuk penggunaan helikopter khas yang biasanya digunakan untuk operasi pemadaman kebakaran.

"Semoga hari ini kami dapat mencari lokasi itu dan kami berharap dapat menemuinya dalam keadaan selamat dan sihat," ujar Sudayana kepada media.

Setakat ini, operasi pencarian masih diteruskan dan pihak berkuasa belum mengesahkan sebarang penemuan berkaitan lokasi atau keadaan pesawat. -Agensi

Artikel Lain