suria

Bas pelancong jatuh gaung lepas melawat ladang teh... 15 maut, 16 lagi cedera

Situasi getir pasukan penyelamat dan orang awam cuba menyelamatkan mangsa.

SERAMAI 15 orang penumpang maut, manakala 16 lagi cedera selepas bas pelancong terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter, awal pagi Jumaat.

Menurut polis, kemalangan berlaku ketika bas yang membawa pelancong tempatan itu pulang dari lawatan ke ladang teh sebelum merempuh penghadang jalan dan jatuh ke lereng bukit.

Kejadian berlaku di kawasan pergunungan Ella, berhampiran pekan Wellawaya, Sri Lanka.

Rakaman yang disiarkan media tempatan menunjukkan bas remuk teruk dengan bumbung dan dinding tercabut, manakala kerusi serta serpihan bertaburan di kawasan cerun curam.

Seorang penumpang yang terselamat mendakwa pemandu sempat memberi amaran dengan menjerit kepada mereka supaya berpegang kuat sebelum bas terhumban.

“Saya tercampak keluar melalui tingkap yang pecah,” kata penumpang terbabit.

Kesemua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan empat daripadanya dilaporkan parah. 

Pasukan tentera Sri Lanka turut digerakkan membantu operasi menyelamat.

Polis memaklumkan nahas maut membabitkan bas kerap berlaku di Sri Lanka, terutama di kawasan berbukit yang sempit serta jalan raya yang kurang disenggara.

Pada Mei lalu, 21 penumpang maut dalam tragedi serupa apabila sebuah bas terbalik selepas terjunam dari jalan gunung berhampiran Kotmale. -Agensi

Artikel Lain