SEORANG warga emas ditahan selepas didapati menyamar sebagai doktor dan bekerja di sebuah klinik untuk membiayai ketagihan judinya.
Suspek berusia 74 tahun ditahan pada Jumaat selepas polis menyerbu klinik berkenaan hasil aduan orang awam.
Lelaki dikenali sebagai Boonmak Phansila menggunakan identiti sebenar seorang doktor iaitu Dr. Manit Jaruwan untuk memohon kerja sambilan di beberapa buah klinik.
Kejadian dilaporkan berlaku di Lat Phrao di Bangkok, Thailand.
Siasatan mendapati, Boonmak mendakwa pernah menamatkan pengajian di Fakulti Perubatan di Beijing, China dan memberi alasan namanya belum didaftarkan dengan Majlis Perubatan kerana dokumen sedang diproses.
Hakikatnya, dokumen Dr. Manit ditemuinya di sebuah kumpulan Facebook ketika doktor sebenar itu mencari kerja sambilan.
Dengan menyamar sebagai doktor, Boonmak memperoleh bayaran antara 500 hingga 1,000 baht (RM65 hingga RM130) sejam dan sudah bekerja di klinik berkenaan selama dua bulan.
Hasil pendapatannya sebahagian besar digunakan untuk berjudi dalam talian.
Kakitangan klinik pada awalnya percaya dengan kepakaran Boonmak kerana faktor usia dan sikapnya yang mesra.
Namun, seorang jururawat mengakui pernah berasa pelik kerana dia kerap memberikan preskripsi ubat yang tidak biasa.
Ini bukan kali pertama Boonmak ditahan kerana pada 2017, dia pernah ditangkap di sebuah bilik rawatan sebuah kilang kerana menyamar sebagai doktor, tetapi dibebaskan sementara sebelum melarikan diri daripada prosiding mahkamah.
Polis mengesahkan Boonmak akan didakwa semula atas kes lama yang belum selesai, di samping kes terbaru berkenaan. -Agensi