suria

Buat kesalahan ‘bodoh’ di Dubai, mahasiswa jurusan undang-undang dipenjara seumur hidup... Ibu dakwa salah pilih kawan

Mia (kiri) kini ditahan di Dubai atas kesalahan yang tidak didedahkan. -Foto Gofundme

SEORANG wanita berkongsi luahan penuh emosi selepas anak perempuannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Danielle McKenna, 46, yang juga warga British, anaknya dipenjara selepas melakukan 'kesilapan bodoh' ketika berada di Dubai.

Bagaimanapun, butiran mengenai penahanan atau pertuduhan ke atas anaknya, Mia O’Brien, 23, tidak didedahkan.

"Seperti yang anda semua boleh bayangkan, sebagai seorang ibu, hati saya benar-benar hancur. Saya tidak berjumpa Mia sejak Oktober lalu.

"Mia tidak pernah melakukan perkara buruk sepanjang hidupnya. Dia seorang gadis muda yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga produk kecantikan dipenjara gara-gara hina tentera di FB

"Malangnya dia terjebak dengan ‘kawan-kawan’ yang salah dan membuat kesilapan yang sangat bodoh sehingga terpaksa menanggung akibatnya," luah ibunya.

Menerusi perkongsian di platform GoFundMe, ibunya turut menyeru orang ramai memberikan bantuan kewangan untuk yuran guaman anaknya.

Wanita itu juga meminta bantuan untuk membolehkannya terbang ke UAE bagi membantu Mia.

Sebelum ini, seorang lagi lelaki warga British dipenjara beberapa bulan kerana melakukan hubungan sejenis di Dubai. -Agensi

 

Artikel Lain