suria

Tak mahu mengalah, dua lelaki halang laluan pejalan kaki lebih empat jam

Dua lelaki enggan mengalah daripada memberi laluan. -Gambar tular media sosial

SUATU insiden aneh mencuri perhatian ramai apabila seorang penghantar makanan dan seorang penunggang basikal elektrik bertahan lebih empat jam kerana masing-masing enggan mengalah memberi laluan.

Kejadian berlaku di lintasan pejalan kaki yang hanya mampu dilalui sebuah kenderaan kecil pada satu masa.

Kedua-dua lelaki itu tiba dari arah bertentangan namun masing-masing enggan memberi laluan hingga menyebabkan keadaan menjadi tegang.

Kejadian itu berlaku di Huizhou di Guangdong, China.

Rakaman video yang tular memaparkan kedua-duanya terus berdiam diri di laluan itu sambil sesekali melayari telefon bimbit. 

Seorang saksi yang dikenali sebagai Li, berkata kedua-dua mereka tidak berganjak dalam tempoh yang lama.

“Masa saya keluar rumah pukul 4 petang mereka sudah di situ. Balik pukul 9 malam, mereka masih tak berganjak,” katanya.

Pihak berkuasa trafik memaklumkan tiada tindakan segera diambil kerana tiada kemalangan berlaku, namun rakaman kamera litar tertutup akan diteliti untuk menentukan punca dan siapa yang tiba terlebih dahulu.

Ini bukan kali pertama insiden pertikaian di jalan raya berlaku di China. 

Awal Ogos lalu, seorang pemandu di Jiangsu didenda serta ditahan lima hari kerana menghentikan kereta lain dan memaki hamun hanya kerana enggan memberi laluan pertukaran lorong. -Agensi

 

Artikel Lain