suria

Pakar bius mohon maaf tinggalkan pesakit di dewan bedah untuk buat seks dengan jururawat

Prosedur pembedahan perlu dijalankan dengan teliti kerana melibatkan nyawa pesakit. -Gambar hiasan

SEORANG doktor pakar bius didakwa meninggalkan pesakit yang sedang dibius di dalam dewan bedah demi melakukan hubungan seks dengan seorang jururawat di bilik pembedahan lain, menurut keterangan dalam satu pendengaran tribunal perubatan di United Kingdom (UK).

Dr Suhail Anjum, 44, yang kini tinggal di Pakistan, dikatakan terlibat dalam insiden mengejutkan itu di Hospital Tameside, Greater Manchester, pada September 2023.

Tribunal diberitahu bahawa seorang jururawat menemui Dr Anjum dan seorang jururawat wanita dikenali sebagai 'Jururawat C' dalam 'kedudukan berkomprom'. 

Jururawat tersebut yang terkejut segera keluar dari bilik dan melaporkan insiden itu kepada pihak pengurusan.

Ketika kejadian, Dr Anjum memaklumkan kepada rakan sekerja bahawa dia memerlukan 'rehat yang selesa' dn meminta seorang jururawat lain memantau pesakit lelaki yang sedang menjalani prosedur pembedahan.

Dia dilaporkan menghilangkan diri selama kira-kira lapan minit sebelum kembali menyelesaikan pembedahan.

Wakil Majlis Perubatan Am (GMC), Andrew Molloy, mengesahkan tiada kecederaan berlaku kepada pesakit sepanjang ketiadaan doktor itu, dan prosedur berjalan lancar.

Dalam perbicaraan, Dr Anjum tidak mempertikaikan fakta kes dan mengakui tindakannya memalukan serta berpotensi membahayakan pesakit. 

Dia turut memohon maaf kepada rakan sekerja dan pihak National Health Service (NHS), iaitu perkhidmatan kesihatan awam kebangsaan di UK.

"Saya hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan," katanya sambil menyatakan hasrat untuk menyambung kerjayanya di negara tersebut.

Dr Anjum berkata insiden itu berlaku semasa dia melalui tempoh tekanan emosi, susulan masalah rumah tangga selepas kelahiran pramatang anak perempuannya.

Kes berkenaan mendapat liputan apabila doktor berkenaan baru-baru ini menghadiri satu pendengaran di UK yang akan menentukan sama ada dia layak untuk kembali menjalankan amalan perubatan di negara itu. -Agensi

Artikel Lain