suria

“Ia sangat biadab!” - Influencer miliki 39,000 pengikut IG geram lelaki ajak ‘dating’ di medan selera

Naomiblackk tular selepas dia berkongsi tangkap layar perbualannya dengan seorang lelaki.

SEORANG pempengaruh dikecam selepas menolak pelawaan seorang lelaki yang mencadangkan medan selera sebagai lokasi janji temu pertama mereka.

Pempengaruh Singapura dikenali sebagai Naomiblackk itu tular selepas dia memuat naik tangkap layar perbualannya dengan lelaki berkenaan di media sosial.

Dalam perbualan itu, lelaki tersebut mencadangkan pertemuan di Lau Pa Sat, sebuah kompleks makanan terbuka yang terkenal dengan hidangan tempatan pada harga berpatutan.

“Sesiapa yang mengajak saya ke Lau Pa Sat untuk janji temu pertama akan terus dibatalkan. Ia sangat biadab,” tulis wanita itu yang memiliki 39,000 pengikut Instagram.

Menyifatkan Lau Pa Sat sebagai 'panas, bising, dan sesak', Naomi berkata tempat itu tidak menyampaikan hasrat sebenar untuk membina hubungan cinta.

“Apabila kita tinggikan standard, ia tak bermaksud kita sombong. Ia adalah penghormatan kepada diri sendiri,” tambahnya lagi.

Selepas hantaran itu tular, segelintir netizen menggelarkannya sebagai wanita yang 'terlalu cerewet' dan 'banyak kerenah'. 

Namun, ramai juga netizen mempertahankan pendirian Naomi yang mahu mencari pasangan sepadan dengan dirinya.

"Dating di Lau Pa Sat tidak salah. Tetapi untuk janji temu pertama? Saya tak mahu.

“Tiada yang salah dengan menetapkan standard. Dia tahu apa yang dia mahukan, dan jelas lelaki itu bukanlah orangnya.

“Kalau teman lelaki saya membawa saya ke medan selera pada janji temu pertama, dia seorang yang baik,” tulis beberapa netizen. -Agensi

Artikel Lain