SEORANG warga emas berusia 63 tahun berkahwin dengan teman lelakinya yang berusia 31 tahun, sekali gus menjadikannya enam tahun lebih tua daripada ibu mentuanya sendiri.
Pasangan Jepun itu yang masing-masing memanggil pasangan sebagai 'Puteri' dan 'Putera' mendedahkan percintaan mereka bermula secara kebetulan pada 2020.
Wanita berkenaan, dikenali sebagai Azarashi, pernah mendirikan rumah tangga selama lebih dua dekad sebelum bercerai pada usia 48 tahun.
Selepas itu, dia membesarkan anaknya sebagai ibu tunggal sambil menguruskan perniagaan pakaian haiwan peliharaan.
Pertemuan dengan suami mudanya berlaku apabila Azarashi menjumpai telefon bimbit milik lelaki tersebut di sebuah kafe di Tokyo.
Mereka bertemu semula secara tidak sengaja di dalam trem seminggu kemudian, lalu bertukar nombor telefon dan sejak itu, mereka kerap berbual lebih sejam setiap malam.
“Apa sahaja yang saya bicarakan tentang kerja, kehidupan harian atau hobi dia faham dan benar-benar berminat. Itu membuatkan saya gembira,” kata Azarashi.
Azarashi, 63, mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun lebih tua dari suaminya. -chanto.jp.net
Pada janji temu pertama, lelaki itu menyerahkan sepucuk surat cinta dengan menulis 'sudikah jadi puteriku'.
Pasangan ini hanya mengetahui umur sebenar selepas sebulan berkenalan.
Azarashi juga mengakui anak lelakinya yang kini sudah berkahwin menyokong hubungan mereka, meskipun lebih tua enam tahun daripada suami baharunya.
Bagaimanapun, ibu lelaki itu pada awalnya menentang kerana dia jauh lebih muda daripada Azarashi, tetapi akhirnya bersetuju selepas dipujuk anaknya.
Mereka mendaftarkan perkahwinan pada Krismas 2022, dan sehingga kini masih hidup bahagia serta mengusahakan agensi perkahwinan bersama.
Di media sosial, reaksi bercampur-campur tercetus. Ada yang memuji keyakinan dan kejelitaan Azarashi, manakala yang lain bimbang suami mudanya mungkin mencari pasangan lain pada masa depan.
Namun, Azarashi tenang menerima segala kemungkinan.
“Selagi kami bahagia sekarang, itu yang paling penting,” katanya.
Fenomena percintaan jarak usia besar semakin mendapat perhatian di Jepun dan seluruh dunia, mencerminkan perubahan sikap terhadap cinta dan perkahwinan.-Agensi