SEORANG lelaki maut dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal untuk membuat kejutan kepada isterinya, dalam kejadian pada Rabu malam.
Mangsa, berusia 40 tahun maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Jatupol Jaiyen dan kejadian berlaku di Jalan Rojana menghala ke daerah Wang Noi, Thailand.
Polis Balai Wang Noi menerima panggilan mengenai kemalangan pada pukul 9.50 malam dan turut menemui wang tunai sebanyak 81,000 baht (RM10,500) serta sepucuk surat cinta.
Nota itu berbunyi 'Kita akan hadapi ini bersama. Ciuman buat isteriku tersayang'.
Menurut polis, isteri mangsa kemudian menghubungi mereka dan mengesahkan bahawa suaminya dalam perjalanan ke Prachin Buri untuk menyerahkan wang simpanan tersebut kepadanya.
Mayat mangsa dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat di Pathum Thani untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya.
Wang tunai itu dijadikan bahan bukti sebelum dipulangkan kepada isterinya bersama surat cinta berkenaan.-Agensi