SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana membunuh isterinya hanya tiga bulan selepas mendirikan rumah tangga.
Lelaki dikenali sebagai Seo, 35, itu membunuh isterinya kerana wanita berkenaan enggan melakukan hubungan seks dengannya.
Mahkamah Jenayah Daerah Selatan Seoul, Korea Selatan yang dipengerusikan Hakim Jang Chan menetapkan hukuman itu ke atas tertuduh pada Khamis.
"Tertuduh dengan kejam membunuh pasangan yang sepatutnya bersama seumur hidup, di sebuah rumah yang seharusnya menjadi tempat paling aman.
"Ketakutan dan penderitaan yang dialami mangsa tidak dapat dibayangkan dan usaha tertuduh untuk menyembunyikan jenayahnya hanya menambah luka keluarga," kata hakim.
Mengikut pertuduhan, Seo mencekik isterinya ketika wanita itu sedang berbaring di atas katil di rumah mereka di Daerah Gangseo, Seoul, pada 13 Mac.
ARTIKEL BERKAITAN: Batin terseksa, mental tercedera! Isteri ambil ubat tidur, dirujuk pakar psikiatri lepas suami PJJ pulang ke pangkuan keluarga
Dia kemudian bertindak sebagai ketua pengurus jenazah pada pengebumian isterinya sebelum ditahan polis.
Hasil siasatan mendapati dia berulang kali mendesak isterinya yang sedang hamil untuk mengadakan hubungan seks.
Lebih teruk, dia juga pernah memaksa isterinya melakukan hubungan seks ketika wanita itu baru sahaja mengalami keguguran.
Seo mengambil kesempatan apabila isterinya dalam keadaan mabuk serta mengambil pil tidur, menyebabkan mangsa tidak mampu melawan.
Selepas membunuh, dia memadam aplikasi kamera rumah dan menukar kata laluan telefon isterinya untuk mengelak perbuatannya dikesan.
Seo pada mulanya mendakwa pembunuhan itu berlaku secara tidak sengaja ketika pertengkaran, namun mahkamah menolaknya selepas hasil bedah siasat mengesan kewujudan pil tidur doxylamine dalam tubuh mangsa serta paras alkohol darah sebanyak 0.024 peratus. -Agensi