SEORANG wanita berusia 57 tahun didakwa pada Jumaat atas tuduhan mendedahkan kemaluan serta melakukan gangguan seksual terhadap anak lelakinya yang ketika itu berusia 16 tahun.
Tertuduh adalah seorang warga Singapura, namun tidak boleh didedahkan identitinya kerana terdapat perintah larangan penyiaran dikeluarkan bagi melindungi mangsa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kejadian pertama berlaku sekitar pukul 1 pagi pada 26 Disember 2021 di sebuah kediaman berhampiran MacPherson Road, Singapura.
Wanita itu didakwa mengangkat baju tidurnya bagi mendedahkan kemaluan kepada anaknya.
Sementara itu dalam satu lagi kejadian pada 18 Januari 2022 sekitar pukul 8 pagi, tertuduh dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur gangguan terhadap remaja berkenaan.
"Awak nak beritahu polis saya dedah (tayang kemaluan) diri lagi? Kalau begitu saya akan dedah diri sekali lagi," ugut wanita itu kepada mangsa, demikian menurut laporan.
Selepas itu, wanita berkenaan didakwa memberi isyarat seolah-olah mahu melondehkan kain yang dipakainya.
Namun, dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana kes ini terbongkar.
Susulan itu, sebutan semula kes dijadualkan pada 10 Oktober depan.
Jika sabit kesalahan kerana mendedahkan kemaluan kepada anaknya, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda.
Bagi kesalahan gangguan seksual pula, hukuman maksimum ialah penjara enam bulan dan denda sehingga 5,000 Singapore dolar (RM16,322). -The Straits Times