SEORANG remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah lori dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Kemalangan kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku di Jambatan Bang Khun Si yang menghala ke Ratchaphruek Road, Bangkok, Thailand.
Penunggang motosikal yang maut dikenal pasti sebagai Noom, 16, seorang ahli pasukan futsal sebuah sekolah menengah.
Rakannya yang membonceng motosikal itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Siriraj untuk rawatan kecemasan.
Menurut pemandu lori berusia 47 tahun, dia sedang memandu perlahan menaiki jambatan apabila beberapa motosikal memotong kenderaannya sebelum terdengar hentaman kuat di bahagian belakang.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak maut 8 jam lepas langgar penghadang mungkin selamat jika bapa tahu pentingnya 'golden hour'
“Saya berhenti dan turun untuk memeriksa. Ketika itu saya nampak motosikal serta dua remaja terbaring di atas jalan. Mereka tidak bergerak,” katanya.
Keluarga mangsa memaklumkan, remaja berkenaan tinggal di asrama sekolah bagi memudahkan latihan bersama pasukan futsal, dan hanya pulang ke rumah pada hujung minggu.
Pada malam kejadian, mangsa yang baru selesai menjalani latihan futsal sempat menghubungi ibunya untuk meminta wang membeli makanan.
Ketua Polis Balai Bang Khun Si berkata siasatan masih dijalankan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Setakat ini, tiada sebarang pertuduhan dibuat. -Agensi