SEORANG kanak-kanak lelaki maut selepas tersepit lif di sebuah pangsapuri.
Mangsa berusia 11 tahun meninggal dunia di lokasi, iaitu antara lantai tingkat tiga dan empat bangunan dalam kejadian pukul 4.45 petang Khamis lalu itu.
Mangsa dikenali sebagai Amey Sahebrao Fartade dan kejadian berlaku di Charholi Phata, Pimpri Chinchwad di India.
Ketua Inspektor Balai Polis Dighi, Pramod Wagh, berkata penduduk setempat pada mulanya cuba menyelamatkan mangsa sendiri tetapi gagal, lalu menghubungi bomba dan pihak polis untuk bantuan.
Pegawai kanan Jabatan Bomba Pimpri Chinchwad, Rushikant Chipade menjelaskan seorang individu datang ke balai bomba sekitar pukul 5.05 petang memberitahu ada kanak-kanak tersepit dalam lif.
“Pasukan kami bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa tersepit antara lif dan konkrit bangunan.
"Lif diturunkan untuk mengeluarkannya sebelum segera dibawa ke hospital. Namun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa memasuki lif dari tingkat satu sebelum insiden berlaku.
Polis kini sedang menyiasat sama ada lif berfungsi dengan baik atau terdapat masalah teknikal yang menyebabkan kemalangan tragis tersebut. -Agensi