suria

Bergelut rebut tanah pusaka, adik maut diparang abang

Gagal mengawal kemarahan boleh mengakibatkan kehilangan insan tersayang. -Gambar hiasan

PERTIKAIAN tanah pusaka antara dua beradik berakhir dengan tragedi apabila si adik maut manakala abangnya ditahan polis pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Risman Riyanto, 43 manakala abangnya Ahmad Kholis, 49, yang juga suspek, mengalami kecederaan akibat pergelutan tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Sendayan, Kecamatan Kampar Utara, Kabupaten Kampar, Riau di Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasatreskrim) Polres Kampar, AKP Gian Wiatma Jonimandala, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam, berpunca daripada isu pembahagian tanah.

“Kerana masalah tanah pusaka, berlaku pertengkaran sehingga berakhir dengan kematian seorang mangsa,” katanya.

Menurut Gian, insiden bermula apabila Risman menemui abangnya yang berada di sebuah kedai untuk meminta tandatangan bagi mengesahkan dokumen tanah pusaka.

Namun Ahmad menolak dengan alasan sempadan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pertengkaran menjadi tegang apabila Risman berang dan mendesak agar tandatangan dilakukan segera. 

Dia kemudian mengeluarkan sebilah pisau dari celah pinggang dan menikam abangnya di bahagian kiri perut, kepala dan lengan kanan.

Dalam keadaan cemas, Ahmad sempat mencapai tukul besi dan parang dari kedai berkenaan lalu berlaku pergelutan berdarah antara dua beradik itu. 

Akibatnya, Risman maut di lokasi kejadian manakala Ahmad mengalami kecederaan.

Polis segera menahan Ahmad Kholis yang kini disiasat dan ditetapkan sebagai suspek.-Agensi

Artikel Lain