SEORANG peniaga emas maut dibunuh selepas diserang oleh sekumpulan perompak yang membaling serbuk cili ke arahnya sebelum melarikan barangan kemas, pada Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai Sankar Jana, 60, ditemukan terbaring di lantai kedainya dengan kaki diikat dan kesan kecederaan di belakang kepala.
Menurut polis, lima suspek berusia antara 20 hingga 25 tahun dipercayai terlibat dalam rompakan kejam di Baranagar, Kolkata di India.
“Penyiasatan awal mendapati kumpulan tersebut datang dengan niat untuk merompak.
“Mereka menyerang mangsa dengan objek tumpul dan menabur serbuk cili untuk mengelakkan diri dikenali,” kata seorang pegawai polis.
Pasukan forensik dan Bahagian Siasatan Jabatan Polis Barrackpore telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengumpul bukti.
Sebuah batang besi dan pek serbuk cili terbuka turut ditemui di dalam kedai tersebut.
Anak lelaki mangsa yang pulang dari Delhi lewat malam Sabtu mengesyaki sesuatu apabila sistem CCTV kedai bapanya tidak berfungsi.
Selepas gagal menghubungi bapanya, dia menghubungi jiran kedai berdekatan yang kemudian menemui Jana dalam keadaan berlumuran darah.
Menurut laporan, empat suspek berpura-pura menjadi pelanggan dan memasuki kedai antara pukul 3 hingga 3.30 petang, manakala seorang lagi menunggu di luar.
Ketika itu, banyak premis perniagaan di lorong Shambhu Nath Das Lane ditutup sempena cuti perayaan Durga Puja, menjadikan kawasan tersebut sunyi dan memudahkan perompak bertindak.
Polis mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat hentakan benda tumpul, dipercayai punca kematian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Komisioner Polis Kolkata, Murlidhar Sharma, memaklumkan bahawa pihaknya telah memperoleh rakaman CCTV dan sedang meneliti petunjuk bagi mengesan suspek.-Agensi