SEORANG lelaki bertindak menyerang bapanya dengan parang selepas pertengkaran mengenai dokumen tanah bertukar menjadi tragedi berdarah.
Dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dan leher.
Mangsa kini koma dan dirawat di Hospital Kolej Perubatan Thrissur di Kerala, India.
Menurut laporan, mangsa dikenali sebagai Shivan dan isterinya pergi ke rumah sewa anaknya, Vishnu untuk bertanyakan tentang dokumen tanah keluarga.
Vishnu dikatakan memberitahu mereka bahawa dia telah membuang dokumen berkenaan ke dalam telaga.
Pertengkaran itu kemudian bertukar ganas apabila Vishnu bertindak menyerang bapanya di dapur dan terus mengejarnya keluar dari rumah sambil menghayun parang.
Ibu Vishnu dan seorang saudara yang turut berada di tempat kejadian sempat melarikan diri dan meminta bantuan jiran.
Vishnu, yang bersenjatakan beberapa bilah pisau, kemudian mengunci diri di tingkat atas rumah dan mengugut untuk membunuh diri jika polis cuba mendekatinya.
Drama tegang itu berlarutan selama lebih tiga jam apabila pihak berkuasa dan penduduk tempatan berusaha memujuknya menyerah diri, malah mereka terpaksa memecahkan tingkap dan bumbung untuk memasuki rumah tersebut.
Vishnu dilihat melompat ke bumbung rumah jiran sambil menekap pisau ke lehernya bagi menakut-nakutkan orang ramai.
Selepas rundingan berpanjangan, dia akhirnya menyerah diri kepada polis sekitar pukul 5.30 petang dengan bantuan penduduk kampung.
Menurut jiran, Vishnu yang tinggal berasingan daripada ibu bapanya sering melakukan ritual pelik dan amalan ghaib bersendirian di rumah.
Polis kini menyiasat kemungkinan masalah kesihatan mental menjadi punca tindakannya.-Agensi