suria

Dua hari ditahan rejim Zionis, aktivis GSF mengaku lebih rela masuk penjara Taliban selama 2 bulan!

Yvonne Ridley dibebaskan selepas ditahan rejim Zionis.

WARTAWAN, Yvonne Ridley menyifatkan pengalaman ditahan di penjara Israel sebagai antara detik paling kejam dan mencemarkan maruah manusia yang pernah dialaminya.

Menurut aktivis kemanusiaan British yang baru dibebaskan bersama pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) itu, layanan diterima sepanjang tahanan amat buruk hingga membuatkan dia menganggap penjara Israel jauh lebih teruk daripada penjara Taliban.

“Ramai tahu saya pernah dipenjarakan selama 11 hari di bawah rejim Taliban pada 2001.

"Izinkan saya berterus terang, bahawa saya lebih rela berada dalam penjara Taliban selama dua bulan daripada dua hari dalam penjara Israel,” katanya menerusi video yang dikongsi.

Ridley menggambarkan penjara Israel sebagai tempat yang kejam dan merosakkan, dengan pegawai-pegawai penjara wanita turut menjadi sebahagian daripada sistem yang menindas tahanan perempuan.

ARTIKEL BERKAITAN:  GSF: Wartawan British peluk Islam selepas ditahan Taliban pada 2001 dilapor hilang di penjara Israel

“Penjara Israel sangat kejam. Mereka menjadikan hidup kami menderita. Ia satu sistem yang mematahkan semangat manusia,” katanya.

Aktivis berusia 66 tahun itu turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bersolidariti, berdoa dan bersuara untuk pembebasannya bersama pasukan flotila.

“Saya amat bersyukur dapat keluar dari penjara yang teruk itu. Kini saya berada di Istanbul bersama suami dan tidak sabar untuk pulang ke rumah kepada anak-anak serta haiwan peliharaan saya,” katanya.

Dalam mesejnya, Ridley turut berkongsi rasa pilu mengenangkan seorang kanak-kanak Gaza yang sebelum ini menunggu di pantai setiap hari bagi menyambut ketibaan kapal misi mereka.

“Kanak-kanak itu hanya mahukan sebatang coklat. Kami gagal menghantarnya, dan saya amat sedih untuk dia serta semua anak-anak di Gaza,” katanya.

Artikel Lain