SEORANG lelaki membuat aduan 'luar biasa' apabila mendakwa isterinya bertukar menjadi 'nagin' (ular betina) pada waktu malam dan menakutkannya dengan bunyi desisan seperti ular.
Menurut laporan, lelaki bernama Meraj mengemukakan aduan tersebut kepada pegawai daerah, Abhishek Anand pada 4 Oktober lalu.
Perkara itu diceritakan Meraj semasa sesi Samadhan Diwas iaitu hari khas bagi mendengar dan menyelesaikan aduan awam yang diadakan di daerah Sitapur, Uttar Pradesh di India.
Meraj mendakwa isterinya, Naseemun, tidak waras dan sering 'berlakon seperti ular jadian' pada waktu malam sehingga dia tidak dapat tidur.
Katanya, sudah beberapa kali membuat laporan kepada pihak polis namun tiada tindakan diambil, menyebabkan dia membawa perkara itu kepada pentadbiran daerah.
Bagaimanapun, kisah itu menjadi semakin rumit apabila Naseemun pula menuduh suaminya menganiaya dan mereka-reka cerita.
Wanita itu yang kini hamil empat bulan turut mendakwa suaminya enggan menanggung kos perubatan dan makan minumnya.
Untuk rekod, dalam kepercayaan masyarakat India, 'nagin' digambarkan sebagai makhluk ghaib yang mampu bertukar daripada bentuk manusia kepada ular.
Kisah ini sering digunakan dalam legenda dan filem tempatan. -Agensi