suria

“Kau jerit aku tuang lagi!” - Suami meraung kesakitan, isteri curah minyak panas seluruh badan ketika nyenyak tidur

Tiada tangkapan dibuat setakat ini terhadap wanita yang mencederakan suaminya itu. -Foto NDTV

SEORANG lelaki mengalami cedera parah selepas diserang isterinya ketika sedang tidur pada awal pagi Jumaat, 3 Oktober lalu.

Mangsa, Dinesh, 28, pekerja di sebuah syarikat farmaseutikal kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana berada dalam keadaan kritikal.

Kejadian berlaku di rumah sewa pasangan itu di kawasan Madangir, Delhi, di India ketika mangsa sedang nyenyak tidur bersama anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun.

Menurut polis dari Balai Polis Ambedkar Nagar, isteri Dinesh bertindak menuang minyak panas ke atas badan suaminya sebelum menabur serbuk cili pada luka tersebut.

"Kalau kau menjerit, aku tuang lagi minyak panas," katanya memberi amaran ketika mangsa menahan kesakitan.

Jeritan Dinesh bagaimanapun mengejutkan jiran dan keluarga tuan rumah yang tinggal di tingkat bawah, sebelum dia segera dibawa ke hospital.

Mangsa dirujuk ke Hospital Safdarjung akibat lecur teruk pada dada, muka dan tangan. 

Laporan perubatan mengklasifikasikan kecederaan Dinesh sebagai tahap bahaya.

Siasatan mendapati pasangan itu sudah berkahwin selama lapan tahun dan sering bergaduh. 

Dua tahun lalu, si isteri pernah membuat aduan di Unit Jenayah Terhadap Wanita (CAW Cell) namun kes diselesaikan secara damai.

Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini. -Agensi

Artikel Lain