PERSONALITI media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee tidak dapat menahan sebak ketika diminta berucap sebaik tiba ke tanah air pada Selasa.
Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) itu dengan penuh emosi menyuarakan nasib wanita dan mangsa penindasan Israel.
Jelasnya, walaupun penculikan mereka tidak lama, tetapi sebagai wanita dia dapat merasai kesengsaraan nasib wanita Palestin di Gaza.
"Sebagai wanita kami ditindas, hidup kami dirampas, kami dimalukan di hadapan orang ramai.
"Kami terpaksa mengambil t-shirt berwarna putih untuk menutup rambut dan kepala demi menjaga maruah sebagai seorang wanita di sana," katanya.
Farah Lee berkata demikian sewaktu ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa malam.
Dia merupakan antara 23 aktivis Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel di Penjara Ketziot.
Tambah Farah Lee, apa yang dilaluinya mungkin satu peratus daripada kesengsaraan sebenar dihadapi saudara di Palestin.
"Pelbagai bentuk hak kemanusiaan yang ditindas. Antaranya akses kepada air bersih, ubat-ubatan, produk sanitasi wanita dan banyak lagi.
"Tapi itu mungkin kurang daripada satu peratus penindasan hak asasi manusia yang berlaku di Palestin," katanya.
Sementara itu, Ardell Aryana berterima kasih kepada orang ramai yang hadir menyambut ketibaan mereka di KLIA.
Dia yang masih dalam kepenatan turut mengajak orang ramai hadir ke Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena pada Rabu.
"Saya tak dapat kongsi banyak (sekarang), saya harap semua dapat hadir ke Axiata untuk bersama-sama bersolidarti untuk Palestin," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa syukur atas kepulangan rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan secara haram oleh pihak berkuasa Israel.
“Saya ingin menyatakan betapa bersyukurnya atas kepulangan sahabat-sahabat kita ke tanah air pada malam ini.
“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas usaha beliau dengan tahap diplomasi tertinggi… bersama kepimpinan negara-negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan.
"Terima kasih kepada semua ibu bapa. Kita selamat kembali ke tanah air," katanya.