suria

Tiong, MOTAC diberi amaran keras! PM tak terima alasan isu hidang arak dalam majlis kerajaan

Anwar berkata kesilapan itu tidak patut berulang lagi. -Foto Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementeriannya bahawa hidangan alkohol pada acara rasmi kerajaan tidak boleh berulang lagi.

Anwar berkata, penjelasan yang diberikan oleh kementerian bahawa alkohol hanya dihidangkan selepas majlis rasmi tamat tidak dapat diterima kerana kerajaan mempunyai dasar tegas yang melarang penyajian alkohol dalam mana-mana acara rasmi tanpa pengecualian.

“MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) menjelaskan alkohol dihidangkan selepas acara rasmi berakhir. Namun, ia masih berlangsung di tempat yang sama dan sebahagian daripada acara tersebut.

“Kami beri amaran keras kepada menteri dan kementerian. Kesilapan ini tidak boleh berulang lagi. 

"Walaupun diberi alasan program telah tamat, tindakan itu tetap sama sekali tidak wajar,” tegasnya.

Anwar berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas mengiringi Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif di Kompleks Bunga Raya, Sepang pada Selasa. - The Star

Artikel Lain