DI saat sambutan meriah dan penuh semangat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), seorang sukarelawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) memilih untuk pulang secara senyap.
Pempengaruh dan bekas wartawan, Syahril A. Kadir berkata, Zainal yang baru pulang dari misi kemanusiaan ke Gaza serta turut ditahan tentera Israel itu terus dibawa pulang ke rumah dengan bantuan rakan-rakannya.
Antara rakan yang mengambil Zainal pulang ke rumah pada malam Selasa. -Foto FB Syahril A. Kadir
"Air mata kami semua berlinangan bila memeluk lelaki berusia 58 tahun ini di rumahnya tengah malam tadi. Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA Strim, saudara Nua.
"Sejujurnya kami tidak tahu nak cakap apa, nak tanya apa, nak tahu apa. Di depan kami ada seorang lelaki bertubuh kurus, kepenatan namun masih lagi setia dengan style ruggednya.
"Di sisinya hanya ada satu beg pakaian, entah apalah ada di dalamnya. Mungkin pakaian yang tak sempat dirampas atau ubat-ubatan, Wallahualam," kongsinya di Facebook pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Laungan takbir dan air mata sambut ketibaan sukarelawan GSF
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami ditindas, dimalukan di hadapan orang ramai” - Farah Lee sebak imbas pengalaman jadi tahanan Israel
Syahril berkata, proses membawa Zainal keluar dari KLIA bukan sesuatu yang mudah memandangkan ramai pihak termasuk media mencari peluang untuk bertemu dengannya.
"Sebenarnya proses 'melarikan' ZRA dari KLIA tadi sukar juga, maklumlah orang terlalu ramai dan yang cari ZRA juga ramai," katanya.
Namun dengan perancangan rapi rakan-rakan rapat, Zainal akhirnya selamat tiba di rumah sekitar pukul 12.30 tengah malam.
"Bagi kami yang lama dengan beliau, tahu sangat yang Zainal 'tidak selesa' bila disambut dan dan diraikan, apatah lagi dianggap sebagai wira bagai semua tu.
"Sebab itu saya rasa jangan ambil hati sekiranya beliau tidak menerima bila diiktiraf, menolak untuk diraikan, mengelak untuk dijulang. Itulah dia!
"Kita boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan cara dia, tetapi kita kena terima hakikat setiap orang tidak dilahirkan sama, apatah lagi dalam pola pemikiran dan cara Tindakan," katanya lagi sambil menambah ZRA mempunyai jiwa dan pendiriannya sendiri.
Zainal antara 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, selamat tiba di KLIA pada Selasa malam.
Pesawat Emirates Airbus 380 dari Istanbul, Turkiye yang membawa kumpulan sukarelawan itu mendarat sekitar pukul 10 malam, disambut dengan laungan takbir, sorakan, dan tepukan gemuruh daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta penyokong misi kemanusiaan tersebut.
Sebelum itu, kesemua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel pada Khamis sebelum dibawa ke penjara Ketziot.
Mereka kemudian dibebaskan pada Sabtu dan diterbangkan terus dari Eilat, Israel ke Istanbul, Turkiye sebelum dibawa pulang ke Malaysia.