SERAMAI 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa malam.
Pesawat Emirates Airbus 380 dari Istanbul, Turkiye yang membawa kumpulan sukarelawan itu mendarat sekitar 10 malam, disambut dengan laungan takbir, sorakan, dan tepukan gemuruh daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta penyokong misi kemanusiaan tersebut.
Antara yang turut hadir menyambut mereka ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Terdahulu, semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel pada Khamis sebelum dibawa ke penjara Ketziot.
Mereka kemudian dibebaskan pada Sabtu dan diterbangkan terus dari Eilat, Israel ke Istanbul, Turkiye.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan ialah Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).