suria

Lelaki rebah depan polis lepas dua kali rogol wanita dalam tandas, bilik kediaman

Merogol adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki disyaki terbabit dalam kes samun dan rogol membabitkan empat wanita menemui ajal semasa cuba melarikan diri daripada polis di sebuah residensi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari apabila pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan.

"Dua anggota polis bergegas ke lokasi dan cuba menghubungi penghuni rumah, namun tiada jawapan. Lima minit kemudian, seorang lelaki membuka pintu.

"Anggota memperkenalkan diri sebagai polis dan masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan. 

"Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Fadil, suspek berusia 26 tahun itu kemudian mengadu sesak nafas sebelum rebah di tempat kejadian.

"Pihak polis menghubungi ambulans dan suspek disahkan meninggal dunia ketika diperiksa petugas kesihatan," ujarnya.

Fadil berkata, hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan fizikal ketara dikesan pada tubuh suspek.

Siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, empat wanita tempatan berada di dalam rumah berkenaan.

"Suspek menyamar sebagai penghantar barang untuk masuk ke rumah. Dia kemudian mengikat tangan semua mangsa dan mengurung tiga daripadanya di bilik utama.

"Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali, masing-masing di bilik dan tandas," jelasnya.

Tambah Fadil, semua mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan, muka dan badan.

Katanya lagi, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan samun di Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel Lain