MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) menerima dua lagi aduan berhubung kes buli melibatkan Institusi Pendidikan Mara (IPMA).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara sedang menjalankan siasatan bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar di IPMA dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
"Ketua Pengarah Mara sudah memaklumkan satu, dua kes sudah dilaporkan dan saya suruh siasatan dilakukan.
"Maknanya dengan kata lain sifar toleransi terhadap buli, kita tak akan kompromi, menormalisasikan ataupun membiarkan perbuatan buli dalam apa jua bentuk fizikal mahupun mental," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Kuala Lumpur, pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar MRSM terbabit buli disyor tamat pengajian... Asyraf Wajdi tegaskan tiada peluang kedua, tak layan rayuan
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja kena henyak ramai-ramai, punggung dikorek! Asyraf Wajdi tegaskan tak berkompromi kes buli di MRSM
Terdahulu, Asyraf memuat naik hantaran di akaun media sosialnya, menyeru para pelajar boleh mengadu terus kepada beliau mengenai kemudahan di institusi mara dan kes buli.
Hantaran yang dibuat beliau susulan video tular menunjukkan seorang pelajar lelaki dibuli beberapa rakannya di mana kepala dan badannya dihenyak selain dilibas menggunakan tali pinggang.
Menerusi video berdurasi 31 saat itu, kes buli berkenaan melibatkan sekumpulan pelajar MRSM di utara tanah air pada pertengahan tahun lalu.
Asyraf berkata, sejak dilantik sebagai Pengerusi Mara, beliau menetapkan pelbagai inisiatif bagi mencegah gejala buli termasuk latihan khas bersama kaunselor, pemantauan berkala serta penglibatan secara langsung daripada kepimpinan Mara.
Menurutnya, langkah efektif itu ditunjukkan dalam kejadian buli yang berlaku di MRSM, di mana siasatan dan perakuan jawatankuasa disiplin maktab dibuat dalam tempoh 24 jam selepas laporan dibuat.
"Langkah pantas sebegitu membuktikan bahawa Mara serius dalam menangani insiden buli,” tambahnya. -The Star